suria

Anak Serba Salah Tidak Ikut Sekali

Anggota bomba dan penyelamat memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ngeri sehingga mengakibatkan tujuh maut termasuk lima rentung. - Bernama

JEMPOL: "Saya sangat terkilan sebab tidak sempat tunaikan permintaan ibu bapa saya untuk memiliki kereta Honda".

Demikian kata anak kedua arwah Wan Muhamad Hazim Wan Mohd Fauzi, 19.

Anak kedua daripada lima beradik itu berkata kematian kesemua enam anggota keluarganya hanya diketahui pada pukul 6 petang Ahad selepas dimaklumkan anggota polis di kediaman mereka di Putrajaya.

"Anggota polis itu hanya memaklumkan ayah saya terlibat kemalangan dan tidak pula memberitahu mengenai nasib lima lagi anggota keluarga saya.

"Saya tak sangka kejadian ini boleh berlaku," katanya dalam nada sebak kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Jempol di sini pada Isnin.

Dalam kejadian 2.20 petang itu, lapan maut dengan enam daripadanya rentung manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah treler di KM25 jalan Bahau-Keratong di sini pada Ahad.

Mereka yang maut adalah enam sekeluarga yang menaiki kenderaan Proton Exora iaitu pemandu kenderaan berkenaan Wan Mohd Fauzi Wan Ibrahim, 51 dan isteri Mas Noraida M Yusoff, 45.

Turut terkorban empat anak mereka iaitu Wan Muhamad Muhaimin, 22, Wan Nor Atirah, 18, Wan Muhamad Amar Haziq, 13, dan Wan Nor Alisha, 7.

Kesemua pemandu dan penumpang Proton Exora rentung dalam kejadian itu.

Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ngeri sehingga mengakibatkan tujuh maut termasuk lima rentung di Ladang Risda Palong. - Bernama

Dua mangsa lain yang maut ialah pemandu Perodua Myvi Osman Mohamed Taip, 31 dan isteri Rosniza Othman manakala anak kepada pasangan itu yang belum diketahui identiti mengalami kecederaan dan dirawat di Hospital Kuala Pilah.

Menceritakan lanjut, Wan Muhamad Hazim berkata beliau dipelawa dua kali oleh bapanya untuk mengikut menghantar adiknya Wan Nor Atirah ke Kolej Vokasional Kuantan, Pahang untuk menyambung pelajaran.

"Saya jarang mengikuti keluarga kerana saya bekerja.

"Saya sekarang jadi serba salah kerana tidak mengikut mereka (ke Kuantan)," katanya.

Beliau berkata kesemua jenazah akan dibawa pulang ke Jelawat dan Pasir Mas, Kelantan untuk dikebumikan.

Sementara itu, adik kepada Mas Noraida, Massuhailayante M Yusoff, 43, berkata kali terakhir beliau bertemu kakaknya itu adalah pada Jumaat lepas.

"Ketika itu kami ambil cuti untuk menjaga emak yang sakit di Kelantan. Kami menjaga emak sepanjang Sabtu minggu lalu hingga Jumaat lepas.

"Sepanjang bersama, arwah tidak menunjukkan sebarang tanda perubahan," katanya.

Beliau berkata kepada Bernama, berita sedih itu hanya diketahuinya pada pukul 9.45 malam Ahad.

"Bagaimanapun perkara ini belum lagi dimaklumkan kepada emak," katanya.

Anggota polis menyorong troli mayat mangsa rentung ke bilik forensik Hospital Jempol untuk bedah siasat, malam Ahad. - Bernama

kemalangan maut, Jempol

Artikel Sebelum

Puasa Kerana Malaysia?

Artikel Lain