suria

Khaled Nordin Ucap Takziah Tragedi Lapan Remaja Maut

Mohamed Khaled Nordin.

PETALING JAYA: Kerajaan Johor menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga dan waris lapan remaja berbasikal yang maut dirempuh sebuah kereta berhampiran Jalan Lingkaran Dalam di sini, awal pagi Sabtu.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kejadian itu sebagai amat mendukacitakan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru semua pihak termasuk ibu bapa dan agensi berkaitan agar berusaha memastikan insiden itu tidak berulang kembali.

"Semoga roh-roh mereka yang pergi dalam kejadian tragis itu ditempatkan bersama-sama orang-orang yang dikasihi Allah SWT, amin. Al-Fatihah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Khaled Nordin turut berharap agar semua keluarga dan waris mangsa yang terlibat bersabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.

"Saya juga mendoakan agar mereka yang tercedera dalam kejadian itu segera kembali pulih," katanya.

Dalam kejadian itu, lapan remaja maut, lapan lagi cedera termasuk dua kritikal selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran perkuburan Mahmoodiah kira-kira pukul 3 pagi Sabtu.

Mereka yang terbunuh ialah pelajar sekolah berusia antara 13 hingga 17 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh berkata dalam kejadian itu, sekumpulan 20 hingga 30 remaja berbasikal dipercayai menghalang Jalan Lingkaran Dalam dan jalan-jalan sekitar sebelum dirempuh seorang pemandu wanita.

Katanya, pemandu berusia 22 tahun dari arah Taman Pelangi di sini dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kumpulan remaja berkenaan.



ucapan takziah, 8 remaja, maut

Artikel Sebelum

Artikel Lain