suria

Hampir RM10 Bilion Untuk Subsidi, Insentif Tahun Ini - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memperuntukkan hampir RM10 bilion subsidi dan insentif dalam pelbagai sektor tahun ini dan jumlah itu semakin meningkat setiap tahun. 

Perdana menteri berkata, tuduhan sesetengah pihak bahawa kerajaan tidak prihatin dengan menghapuskan subsidi adalah tidak benar, sebaliknya kerajaan tetap berusaha membantu meringankan bebanan rakyat melalui tumpuan kepada golongan sasar.

"Kerajaan masih menanggung subsidi setiap tahun dan jumlahnya semakin meningkat mengikut harga pasaran dunia," kata Najib menerusi catatan di laman blog, najibrazak.com pada Jumaat.

Menurutnya bagi sektor pertanian sawah padi, kerajaan menyediakan RM1.3 bilion untuk menggalakkan pengeluaran hasil padi dan membantu para pesawah manakala untuk penoreh getah, kerajaan menyediakan RM510 juta subsidi dan insentif termasuk Bantuan Musim Tengkujuh.

"Untuk para nelayan pula, kerajaan memperuntukkan RM260 juta sebagai elaun sara hidup. 

"Bukan itu sahaja, kerajaan juga menanggung subsidi gas memasak sebanyak RM1.6 bilion untuk tahun ini dan subsidi bil elektrik sebanyak RM124 juta," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata, pada tahun ini juga kerajaan menanggung pampasan tol supaya kenaikan harga tol dapat dielakkan.  

"Ini semua dilakukan untuk menyenangkan rakyat dan mengembangkan ekonomi tempatan," katanya.

Perdana menteri berkata, subsidi dan insentif berperanan penting dalam membantu ekonomi rakyat serta negara yang membangun.

"Namun secara asasnya, subsidi adalah untuk golongan yang memerlukan. Sebab itulah subsidi dan insentif hendaklah dibahagikan secara bersasar, bukan menyeluruh," katanya. - Bernama

Artikel Lain