suria

Siti Aisyah Mangsa Penipuan - Naib Presiden Indonesia

JAKARTA: Kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, mula mendapat perhatian Indonesia apabila Naib Presiden negara itu, Jusuf Kalla tampil memberi kenyataan.

Menurut laporan portal detikcom yang memetik kenyataan Jusuf Kalla, suspek wanita yang terlibat dalam kes itu, Siti Aisyah dipercayai menjadi mangsa penipuan sehingga warga Indonesia tersebut ditahan polis Malaysia.

Jusuf Kalla juga tidak menolak kemungkinan Siti Aisyah menjadi mangsa penipuan menerusi program realiti yang menjadi kaedah baharu pihak tertentu untuk mencari mangsa melakukan jenayah ke atas sasaran.

"Siti Aisyah mungkin ditipu dengan cara ini seolah-olah dia sedang menyertai program realiti.

"Bagi saya, Siti Aisyah ibarat menjadi mangsa dalam kes ini," katanya.

Dalam pada itu, Jusuf turut yakin bahawa wanita itu bukan perisik Korea Utara seperti yang dilaporkan media antarabangsa.

Ini kerana katanya, Siti Aisyah masih berada di Malaysia ketika dia ditahan pihak berkuasa negara itu.

"Jika benar Siti Aisyah seorang perisik, dia patut menghilangkan diri.

"Tetapi dia tidak berbuat demikian dan tinggal di hotel untuk bersembunyi berdekatan lapangan terbang terbabit," katanya merujuk kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) yang menjadi lokasi pembunuhan Jong-nam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Sajat Isytihar Dirinya Wanita

Artikel Lain