suria

Tuntutan Palsu: SPRM Cekup Bekas Pegawai Kewangan

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pegawai kewangan sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada Khamis kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM720,000.

Penahanan lelaki berusia 33 tahun itu dilakukan pada 1 tengah hari ini ketika hadir di ibu pejabat SPRM negeri di sini untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes terbabit.

Menurut sumber, suspek dipercayai mengemukakan tuntutan palsu berhubung import dan eksport bahan kimia itu dari 2014 hingga 2016.

Menurutnya, setakat ini, kira-kira RM430,000 daripada nilai tuntutan yang dibuat telah berjaya dikesan oleh pasukan siasatan dan percaya terdapat lagi wang yang disembunyikan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana yang lebih tinggi.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan terbabit dan berkata suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat untuk permohonan reman.

SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain