suria

Jong-nam Pernah Dilihat Di Seluruh Dunia

Kim Jong-nam. -fotoAFP
SEOUL: Kim Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara Kim Jong-il, hidup dalam buangan di China dan Asia Tenggara selama beberapa tahun selepas bergaduh dengan bapanya.

Beliau dilaporkan meninggal dunia pada Isnin selepas dipercayai disembur dengan racun di KLIA2 oleh dua wanita yang disyaki menjadi ejen perisik Korea Utara.


Berikut adalah senarai di mana lelaki ini pernah dilihat. Beliau dilaporkan telah melarikan diri dari kediamannya di Macau kerana bimbang dibunuh selepas adik tirinya Jong-un mengambil alih kuasa berikutan kematian bapa mereka pada akhir tahun 2011.

Januari 2012: Beijing

Sekumpulan rakyat Korea Selatan melihat Jong-nam bersendirian menunggu penerbangan ke Macau di lapangan terbang antarabangsa di Beijing, menurut akhbar arus perdana Korea Selatan, Chosun Ilbo. Beliau mengaku dirinya adalah Kim Jong-nam dan berkata beliau biasanya membuat perjalanan seorang diri. Ditanya sama ada beliau terkejut dengan kematian bapanya sebulan yang lalu, beliau dilaporkan berkata: "Ia adalah perkara biasa."

Isteri pertama Jong-nam, Shin Jong Hui dan anak lelakinya, Kum Sol dilaporkan tinggal di Beijing, manakala isteri keduanya Lee Hye Kyong dan dua anak mereka, Han Sol dan Sol Hui tinggal di Macau.

2012: Singapura

Jong-nam berpindah dari Macau ke Singapura pada akhir bulan Januari, menurut Chosun Ilbo, memetik sumber-sumber kerajaan. Beliau dilaporkan terpaksa melarikan diri dari Macau kerana rumahnya telah didedahkan dan memilih Singapura bagi memudahkan perjalanan ke Eropah, tempat anak lelakinya Han Sol belajar. Satu lagi sumber di Singapura mengesan Jong-nam sebanyak tiga kali dalam tempoh tujuh bulan, dua kali di lobi hotel Marina Bay Sands dan sekali di sepanjang Orchard Road.

Januari 2014: Kuala Lumpur

Jong-nam telah dikesan di sebuah restoran di Kuala Lumpur, lapor akhbar Jepun, Yomiuri Shimbun, memetik sumber. Akhbar itu berkata, beliau tinggal di Singapura, tetapi sering bergerak sekitar rantau ini. Beliau dilaporkan sering menyendiri selepas bapa saudara yang rapat dengannya Jang Song thaek telah dihukum di bawah arahan adiknya sebulan yang lalu.

Mei 2014: Jakarta

Jong-nam muncul di sebuah restoran Itali di Jakarta yang terletak Lotte Shopping Mall dan dimiliki oleh pemilik Korea, menurut saluran berita YTN. Saluran ini menunjukkan foto beliau sedang bergambar dengan chef di restoran itu. Beliau dilaporkan ditemani seorang wanita dalam lingkungan usia 30-an.

September 2014: Paris

Pelancong Korea Selatan berkata, mereka melihat Jong-nam di hotel mewah Le Meridien Etoile di Paris, dengan seorang wanita berusia lingkungan 30-an, lapor Chosun Ilbo. Beliau dipercayai melawat anaknya Han Sol, yang sedang belajar di sana. Ketika ditemui wartawan Korea Selatan, beliau berkata tidak banyak yang dia tahu mengenai Presiden Kim Jong-un atau apa yang sedang berlaku di Korea Utara. - The Straits Times/Asia News Network

kes bunuh, Kim Jong-nam

Artikel Sebelum

Mayat Jong Nam dibawa ke HKL

Artikel Lain