suria

Tiada Lagi Cenderahati Untuk VIP

SEREMBAN: Golongan kenamaan atau VIP yang menghadiri majlis anjuran sekolah dan Kementerian Pendidikan tidak akan menerima sebarang cenderahati.

"Amalan memberi hadiah atau cenderahati kepada VIP ini perlu dihentikan serta merta dan ia dilarang sama sekali," kata Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menjelaskan lanjut Pekeliling yang dikeluarkan kementerian berhubung perkara itu, Alias berkata, langkah itu bagi menjimatkan kos.

Keputusan itu dibuat ketika pertemuan antara Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa dengan KSU semua kementerian.

"Langkah ini juga seiring dengan keputusan kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan di semua peringkat kementerian itu, termasuk di peringkat negeri.

Pada Oktober 2015, kementerian itu memperkenalkan langkah tambahan untuk mengurangkan kos, termasuk mengehadkan penyertaan sekolah dalam mesyuarat dan program luar negara.

Program untuk mendedahkan pelajar di peringkat antarabangsa termasuk pertandingan hanya dibenarkan jika mendapat kelulusan KSU kementerian.

Langkah lain termasuk mengurangkan penggunaan elektrik, air dan bil telefon, selain perbelanjaan menyewa, pengangkutan, khemah, salinan fotokopi dan item teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Golongan guru juga perlu mendapatkan kelulusan pegawai di peringkat negeri dan daerah sebelum melakukan perjalanan ke luar kawasan.

Pada Februari 2015 juga, kementerian berkenaan telah memperkenalkan langkah untuk mengurangkan bil untuk makanan dan minuman di mana hanya dua jenis kuih dan satu minuman dibenarkan dihidangkan pada mesyuarat dalaman.



Artikel Lain