suria

Bersih 5: Tujuh Lagi Dibebaskan Hari Ini

Armand Azha Abu Hanifa.

KUALA LUMPUR: Enam pemimpin Bersih 5.0 dan seorang pemimpin kumpulan Baju Merah yang ditahan pada Sabtu lepas berhubung perhimpunan haram di ibu kota dibebaskan pada Isnin.

Mereka terdiri daripada Naib Presiden PKR Tian Chua yang juga anggota Parlimen Batu, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How serta aktivis Fahmi Reza dan Hishammuddin Rais.

Turut dibebaskan ialah pemimpin kumpulan Baju Merah iaitu anggota Exco Pemuda Umno Datuk Armand Azha Abu Hanifa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa ketika dihubungi mengesahkan pembebasan mereka, namun enggan mengulas lanjut.

Mereka yang masih ditahan sehingga Isnin terdiri daripada Pengerusi Bersih 5.0 Maria Chin Abdullah dan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia Datuk Seri Jamal Md Yunos berserta anggota kumpulannya, Ariffin Abu Bakar.

Seramai 20 pemimpin dan aktivis ditahan dalam tempoh dua hari sejak Jumaat lalu berhubung perhimpunan haram Bersih 5 dan Baju Merah yang diadakan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Pada Ahad, Rusdi berkata lapan anggota jawatankuasa dan aktivis Bersih 5.0 serta dua aktivis kumpulan Baju Merah yang ditahan pada Jumaat lalu berhubung perhimpunan haram telah dibebaskan. - BERNAMA




Bersih 5

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bas Rempuh Pagar Mahkamah

Artikel Lain