suria

Dua Pegawai Bank Ambil Rasuah Didakwa

KOTA KINABALU: Dua pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah RM7,000 daripada seorang individu, awal September lepas.

Muhammad Safwan Isnen, 27, dan Azzry Eyzzamshah Mohamad Arifin, 27, dituduh secara bersama menerima wang suapan berkenaan daripada Afizi Ahmad, di restoran Starbucks Coffee, berbelahan pintu utama One Borneo Hypermall pada 10.13 malam, 6 Sept.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manaf membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 seorang dengan deposit RM5,000 berserta seorang penjamin tempatan.

Mahkamah juga memerintahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport masing-masing ke mahkamah.

Abu Bakar menetapkan 14 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rozanna Abdul Hadi dan Pegawai Pendakwa SPRM Awang Samsul Baharom Bungso manakala Muhammad Safwan dan Azzry Eyzzamshah masing-masing diwakili peguam Ressa Balang dan Azheir Farhan.

Sementara itu, mahkamah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membebaskan tanpa syarat seorang lagi tahanan reman SPRM, Mohd Azif Ahmad, 25, berhubung kes berkenaan. - BERNAMA

Rasuah, Bank

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain