suria

Polis P.Pinang Ketatkan Kawalan Susulan Ancaman Daesh

GEORGE TOWN: Polis mengetatkan kawalan keselamatan di semua tempat awam di Pulau Pinang sebagai langkah berjaga-jaga terhadap ancaman militan Daesh, kata Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Ghafar Rajab.

Abdul Ghafar berkata, polis telah mengenal pasti beberapa lokasi dan menjalankan pengawasan berterusan di kawasan itu.

Polis dalam keadaan siap siaga untuk menggagalkan sebarang cubaan Daesh untuk melancarkan serangan di negeri ini, katanya.

"Kami bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan tidak akan berhenti sehingga ancaman ini berakhir," katanya pada sambutan Hari Raya Aidiladha Daerah Timur Laut di sini, Isnin.

Sebelum ini Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihak polis telah meningkatkan amaran di seluruh negara untuk menggagalkan sebarang cubaan militan Daesh mengganggu sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Beliau berkata, pihak polis tidak menolak ancaman keganasan itu berikutan penahanan tiga suspek militan Daesh di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang yang disyaki berniat mahu melancarkan serangan pada 30 Ogos, pada malam ambang kemerdekaan. 

Abdul Ghafar menggesa orang ramai memaklumkan kepada pihak polis mengenai apa-apa aktiviti yang mencurigakan yang mereka percaya ia boleh mengancam keselamatan negara. 

Sementara itu, beliau berkata polis akan membuat permohonan untuk melanjutkan tahanan reman terhadap seorang warga Afrika Selatan yang ditahan pada 3 Sept di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang selepas menemukan 60 kapsul kokain bernilai RM267,300 di dalam perutnya. 

"Kami akan mengemukakan permohonan di mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman tujuh hari lagi untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada lelaki itu yang dipercayai mempunyai hubungan dengan operasi dadah di negara ini," katanya.

Kertas siasatan telah siap dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.-- Bernama


Daesh, Pulau Pinang, Hari Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain