suria

LRT Percuma Tidak Selesai Masalah

KUALA LUMPUR: Tawaran perkhidmatan percuma selama tiga hari kepada pengguna sistem Transit Aliran Ringan (LRT) tidak menyelesaikan masalah janakuasa yang dihadapi.

Akibatnya selepas dua kali perkhidmatan terganggu pada waktu puncak, ribuan penumpang terkandas dan ada yang terpaksa turun daripada train dan berjalan di atas rel.

Beberapa penumpang yang ditemui berpuas hati dengan tawaran berkenaan namun berkata ia bukan kaedah penyelesaian yang boleh memberi jaminan bahawa insiden berkenaan tidak akan berulang.

Pekerja bank, Aileena Chu, 27, teruja apabila mengetahui mengenai tawaran itu kerana dia menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk ke stesen di Wangsa Maju.

"Tetapi perjalanan percuma tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Bagi saya, penyelesaian jangka panjang seperti meningkatkan sistem mereka adalah lebih penting," katanya.

Pekerja syarikat IT, Phang Kang Lung, 23, berkata tempoh perkhidmatan percuma adalah sesuatu yang baik tetapi ia hanya sementara.

"Mereka perlu menyelenggara train dengan baik," katanya.

Bagi pelajar kejururawatan, Tasya Kamran berkata, dia bernasib baik kerana tidak pernah mengalami gangguan perjalanan walaupun menaiki train tiga kali sehari untuk sampai ke kolej di Glenmarie.

"Saya kasihan mereka yang membawa bayi. Mereka perlu menunggu lebih lama (jika perkhidmatan itu terganggu)," kata remaja berusia 19 tahun itu.

Sebelum ini Rapid Rail Sdn Bhd berkata akan memberi perkhidmatan percuma selama tiga hari kepada pengguna LRT laluan Kelana Jaya bermula 13 sehingga 15 September.

Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad, Datuk Azmi Abd Aziz berkata perkhidmatan percuma itu bagi perjalanan dari stesen Gombak-Putra Heights-Gombak meliputi 37 stesen.

LRT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain