suria

P.Pinang Tak Benar Pemaju Beri Pinjaman Kewangan

BUTTERWORTH: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan memberikan lesen kelulusan projek kepada pihak pemaju hartanah yang memberikan pinjaman kewangan kepada pembeli rumah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tanggungjawab pemaju perumahan adalah untuk membina rumah dan bukan untuk memberi pinjaman dengan kadar faedah yang tinggi kepada peminjam.

Menurutnya, pinjaman kewangan oleh pembeli rumah seharusnya diuruskan oleh pihak Bank Negara dan peranan pemaju adalah hanya untuk membina rumah.

"Saya akan mengarahkan pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan juga Majlis Perbandaran Seberang Perai supaya tidak meluluskan lesen perumahan kepada pemaju-pemaju yang memberikan pinjaman kewangan kepada pembeli," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Sisa Sifar Taman Bagan Lalang di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar supaya pemaju perumahan diberi lesen pemberi pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank.

Guan Eng berkata, pihak pemaju akan mengenakan kadar faedah yang lebih tinggi terhadap peminjam sekiranya mereka diberi lesen untuk memberi pinjaman kepada pembeli rumah.

"Mungkin kerajaan pusat berniat baik untuk membantu rakyat untuk mendapatkan pinjaman rumah, namun itu bukan cara yang betul untuk menangani masalah ini," katanya.

Beliau berkata sekiranya pemaju diberikan lesen untuk menjadi pemberi pinjaman dengan faedah yang tinggi, para peminjam akan menghadapi masalah untuk membuat bayaran balik.

Guan Eng turut mendakwa kadar faedah yang akan diberikan kepada peminjam kewangan dari pemaju akan mencapai sehingga 18 peratus berbanding lebih kurang enam peratus yang dikenakan oleh bank-bank sekarang.

Khamis lepas, Noh Omar mengumumkan pihaknya masih dalam pertimbangan untuk memberikan lesen pemberi pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah menangani masalah bayaran pendahuluan.-- Bernama

Artikel Lain