suria

Bertanjak, Keris Umpama Pahlawan, Tapi PAS Tetap Perjuangkan Agama, Bukan Bangsa - Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memeriksa barisan kawalan Jabatan Amal sebelum merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS kali ke-57 sempena muktamar tahunan Pas kali ke-62 di Kelantan Trade Centre, Selasa. Turut hadir Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (dua, kiri). -fotoBERNAMA
KOTA BARU: Tidak berkopiah atau berserban mahupun berjubah putih seperti kelazimannya, beberapa pemimpin PAS membuat kejutan dalam Muktamar Pemuda PAS pada Selasa dengan berpakaian segak seperti pahlawan Melayu.

Timbalan Presiden parti, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ketua Pemuda, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi antara yang berpakaian sedemikian lengkap berkeris dan bertanjak di lokasi berlangsungnya Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kelantan Trade Centre di sini.


Ditanya adakah berpakaian sebegitu menggambarkan perjuangan bangsa, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa PAS tidak memperjuangkan bangsa tetapi parti itu memperjuangkan agama.


"Kita menerima semua bangsa sebagai ketentuan Allah. Melayu, Cina dan India bukan kita yang tentukan tetapi Allah yang tentukan.

"Saya pakai ini kebetulan saya orang Melayu. Kalau orang (bangsa) lain, mungkin dia akan pakai lain. Bagi kita, ini adalah keunikan budaya kita.

"Sebab itu kita tidak cabut keris, tidak cium keris dan kita tidak menujukan keris kepada sesiapa," tegas Tuan Ibrahim.

Kejutan itu menimbulkan pelbagai reaksi, ada yang kagum dan memuji penampilan segak mereka bagaikan pahlawan Melayu.

Namun pada masa sama tidak terkecuali ada pihak yang mengkritik kerana kebiasaannya mereka berbaju Melayu atau berjubah pada majlis rasmi parti itu seperti Muktamar PAS.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim dilihat berpuas hati dengan penampilan imej 'baharu' bagi merasmikan persidangan sayap parti itu.

"Saya nak ucapkan tahniah kepada Pemuda kerana melakukan perubahan, lama dah tak tengok pakai macam ini," katanya.

"Saya kahwin dulu pun tak pakai macam ini," katanya berseloroh sehingga menggamatkan sidang media.

Menyifatkan berpakaian berkenaan sebagai satu pendekatan yang baik, Tuan Ibrahim berkata, ia sebenarnya menunjukkan keindahan budaya Melayu.

"Bagi kita, budaya kita menarik dan indah. Mungkin satu hari akan datang ada budaya kaum lain yang kita boleh tonjolkan," katanya.

Artikel Lain