suria

Kerajaan P.Pinang Mungkin Diminta Kemuka Semua Dokumen Jambatan Ketiga - Fadillah

Datuk Seri Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan menilai permohonan bagi jambatan ketiga Pulau Pinang berdasarkan merit, kos jangka panjang dan faedah kepada rakyat seperti juga bagi mana-mana permohonan atau cadangan bagi projek pembinaan.

Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan mungkin meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan semua dokumen relevan berkaitan dengan permohonan bagi jambatan ketiga untuk menghubungkan pulau dan tanah besar.

"Pada masa sama, ini mungkin termasuk kementerian meminta kerajaan Pulau Pinang mengemukakan semua dokumen berkaitan permohonan mereka - termasuk tiga kajian projek dengan kos RM305 juta, yang saya difahamkan sudah siap atau hampir siap, yang dikontrakkan oleh kerajaan Pulau Pinang dan sebahagian besarnya telah dibayar," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilaporkan media tempatan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan menghantar surat rasmi minggu depan kepada kerajaan Persekutuan bagi memohon kelulusan untuk pembinaan jambatan ketiga.

Fadillah berkata beliau mengambil perhatian kenyataan Lim hari ini bahawa beliau akan menghantar surat minggu depan untuk memohon bagi jambatan ketiga Pulau Pinang.

"Pada masa sama, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Lim yang mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah menolak atau menyukarkan kerajaan Pulau Pulau untuk mendapat kelulusan pada masa lepas bagi membina jambatan ketiga Pulau Pinang dan sebaliknya memaksa kerajaan Pulau Pinang membina terowong," katanya.

Fadillah juga berkata beliau turut mengambil perhatian akan pengakuan Lim semalam yang beliau tidak cukup berani untuk memohon bagi kelulusan seumpama itu di masa lepas - di sebalik hakikat yang diakuinya sendiri, pembinaan jambatan akan mengurangkan kos sekurang-kurangnya RM2 bilion berbanding terowong.

Artikel Lain