suria

Pistol Milik Pemandu Pengarah JSJN Bukit Aman Ditemui

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pistol milik pemandu kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman telah ditemui dua hari selepas ia dilaporkan hilang pada 23 Januari.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Law Hong Soon berkata, orang awam telah menyerah pistol itu berserta pelurunya kepada pihak polis.

"Siasatan menunjukkan pistol itu tidak digunakan," kata Hong Soon kepada pemberita.

Beliau berkata pemandu kepada Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff itu sedang disiasat atas dakwaan cuai berikutan kehilangan pistol itu dan akan berdepan tindakan disiplin.

Dilaporkan sebelum ini bahawa pemandu itu mendakwa beg sandangnya yang mengandungi pistol dan 20 butir peluru telah hilang pada 23 Januari.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.50 pagi apabila anggota polis itu telah meletakkan kereta Toyota Camry putih yang dipandunya di hadapan kedai serbaneka 7-Eleven di Jinjang Utara.

Dia meninggalkan kereta itu untuk pergi ke 7-Eleven dan hanya menyedari beg itu telah hilang apabila dia kembali ke keretanya.

Di dalam beg itu mengandungi kad kuasa polis, kad ATM, wang RM200, pistol separa automatik Sig Sauer, 20 peluru dan iPhone 6.

Artikel Lain