suria

Tiada Kes Zika Dilaporkan Di Malaysia Setakat Ini

GEORGE TOWN: Tiada kes jangkitan virus Zika dilaporkan di negara ini setakat ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata Malaysia kini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan meningkatkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan penyakit bawaan nyamuk itu ke negara ini.

"Setakat ini kita dah hantar hampir 300 sampel darah ke makmal dan Malaysia ada kemampuan untuk menjalankan ujian ... kita ada makmal yang boleh buat ujian ... setakat ini alhamdulillah tiada jangkitan Zika.

"Cuma sekarang kita kena lebih berjaga-jaga. Tetapi masalahnya penyakit ini tak macam MERS-Cov yang demam dia tinggi sampai 40 darjah. Penyakit Zika ni demam sikit-sikit sahaja, jadi tak dapat dikesan oleh kamera (alat pengimbas suhu badan) di lapangan terbang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baharu Cina 2016 peringkat negeri Pulau Pinang, di pasaraya Giant Bayan Baru dekat sini, Khamis.

Dr Hilmi berkata demikian ketika diminta mengulas satu kes jangkitan virus Zika membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang dilaporkan di Thailand pada 2 Feb lepas.

Virus Zika hanya menyebabkan demam ringan dan bintik-bintik di badan, sakit sendi serta tidak menyebabkan kematian, namun ia dikaitkan dengan kejadian mikrosefali iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil serta gejala saraf iaitu sindrom "Guillain-Barre".

Setakat ini terdapat 26 buah negara melaporkan kes Zika iaitu virus daripada gigitan nyamuk Aedes.

Negara itu adalah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao, Republik Dominican, Ecuador, El Salvadir, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Marti, Suriname, US Virgin Islands dan Venezuela.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau menggesa orang ramai terutamanya mereka yang baru pulang dari negara-negara terbabit supaya memberikan kerjasama sekiranya mengalami simptom penyakit berkenaan.

Beliau turut menasihatkan masyarakat untuk meningkatkan usaha dengan membersihkan kawasan perumahan masing-masing bagi mengurangkan tempat pembiakan nyamuk aedes, selain tidak meletakkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kesihatan.

"Tiap-tiap rumah perlu main peranan masing-masing jaga kebersihan dalam dan luar rumah serta kawasan sekeliling. Ini yang wajib dibuat. Sebenarnya rakyat Malaysia tahu tapi tidak diterjemahkan dalam bentuk tindakan. Dia harap pihak Jabatan Kesihatan dan PBT untuk turun buat kerja, ini tidak kena," katanya.

Zika, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain