suria

12 Negara Termasuk Malaysia Meterai TPPA

Mustapa Mohamed.

AUCKLAND: Dua belas negara, termasuk Malaysia, menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik di sini pada Khamis, pakatan perdagangan yang dijangka meluaskan pasaran, mengurangkan tarif dan mempromosi perdagangan yang lebih bebas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, menandatangani perjanjian perdagangan bebas komprehensif abad ke-21 bagi pihak Malaysia.

Pakatan perdagangan itu mewakili hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global bernilai AS$30 trilion.

Majlis penandatanganan TPPA di ibu negara New Zealand ini adalah hasil rundingan yang sukar yang mengambil masa lima tahun dan 19 pusingan rundingan.

Dua belas negara anggota TPPA ialah Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat, Vietnam dan Malaysia.

Sebahagian besar negara berkenaan merupakan rakan dagang utama Malaysia. 

TPPA bermatlamat menggalakkan penyepaduan ekonomi bagi meliberalisasikan perdagangan dan pelaburan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi serta manfaat sosial.

Lebih daripada 90 peratus manfaat ekonomi disumbangan menerusi langkah-langkah bukan tarif yang lebih rendah.

Ia juga dijangka mewujudkan peluang-peluang baharu untuk pekerja dan perniagaan, menyumbang kepada meningkatkan taraf hidup 600 juta penduduk, memberi manfaat kepada pengguna, mengurangkan kemiskinan serta menggalakkan pertumbuhan mampan.

Selain Mustapa, ketua perunding TPPA Malaysia Datuk J. Jayasiri turut hadir pada acara bersejarah itu.

Majlis pemeterian itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen di sini, bermula pada 9.00 pagi waktu tempatan dengan persembahan kebudayaan berwarna-warni, diikuti mesyuarat peringkat menteri sebelum majlis pemeterian dilakukan.

Malaysia, yang menyertai TPPA pada pusingan ketiga rundingan pada Oktober 2010, bakal menyaksikan KDNK meningkat sebanyak AS$107 bilion kepada AS$211 bilion antara 2018-2027.

Pelaburan diunjurkan meningkat sebanyak US$136 bilion kepada US$239 bilion antara 2018-2027, sebahagian besarnya menerusi pertumbuhan pelaburan yang lebih
tinggi, dalam industri tekstil, pembinaan dan perdagangan pengedaran. - Bernama

TPPA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Dugaan Mencari Jemaah

Artikel Lain