suria

Pelbagai Pihak Tampil Bantu Cari Nor Azimah - Bapa

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan menjejaki rakyat Malaysia, Nor Azimah Ibrahim yang dilaporkan hilang di Madinah, pada 19 Disember lepas.

Bapa mangsa Ibrahim Abdul Rahman, 54, yang masih berada di Madinah memberitahu Bernama antara pihak tampil membantu adalah pelajar, pengiring (mutawif) Malaysia serta guru-guru agama yang mengajar di Masjid an-Nabawi.

"Saya berdoa kepada Allah semoga urusan pencarian anak saya (Nor Azimah) dipermudah dan berharap dia ditemui selamat," katanya ketika dihubungi Selasa.

Ibrahim berkata beliau dijangka pulang ke tanah air dalam masa terdekat kerana mempunyai urusan keluarga, dan kembali ke Arab Saudi sekiranya Nor Azimah ditemui.

Mangsa bersama bapa dan ibunya Zamhani Zakaria, 52, berangkat ke Tanah Suci mengerjakan umrah pada 11 Disember lepas, dan dijadual pulang ke Malaysia pada 22 Disember.

Pada hari kejadian, mangsa yang berasal dari Selangor dan merupakan seorang ibu tunggal, berada dalam keadaan tidak sihat serta tidak mengikuti ibu bapanya melakukan ziarah sebelum dilaporkan hilang ketika berada di Masjid an-Nabawi.

Artikel Sebelum

Artikel Lain