suria

Kes 'Black 505': Nik Nazmi Didakwa

Nik Nazmi Nik Ahmad
SHAH ALAM: Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas dakwaan menganjurkan perhimpunan 'Black 505' tanpa kebenaran di Stadium Kelana Jaya di Petaling Jaya, kira-kira tiga tahun lepas.

Nik Nazmi, 34, yang didakwa untuk kali ketiga bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ghazali Cha.

Mengikut pertuduhan, Nik Nazmi yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, didakwa gagal memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program 'Black 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum menurut Seksyen 9(5) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

Nik Nazmi, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013.

Beliau kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 November 2013.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Pada 6 Februari 2014, Nik Nazmi didakwa kali kedua terhadap pertuduhan sama.

Bagaimanapun pada 6 Mei 2014, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim tersebut juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April 2014.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan jaminan RM1,000 terhadap Nik Nazmi dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 hingga 16 Jun depan sebagai tarikh perbicaraan, manakala 19 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ketika ditemui pemberita setelah selesai prosiding, peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi berkata pihaknya akan memfailkan permohonan minggu ini bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Black 505, Nik Nazmi, AMK

Artikel Lain