suria

Perintah Berkurung Di Perairan Esszone Dilanjut Hingga 6 September

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah, melibatkan enam daerah di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone), dilanjutkan bagi fasa ke-26 bermula Sabtu hingga 6 September dari 7 malam hingga 5 pagi.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata perintah berkurung dari jarak tiga batu nautika dari pantai itu dilanjutkan kerana kawasan berkenaan masih diancam penjenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf untuk melakukan jenayah.

"(Pelanjutan perintah berkurung ini juga untuk) menjamin keselamatan dan kesejahteraan pengguna perairan seperti pelancong dan rakyat Sabah di dataran Esszone," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Menurut Jalaluddin perintah berkurung berkenaan juga dilanjutkan bagi memudahkan penguatkuasaan, memudahkan memantau segala pergerakan bot yang cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan selain menyekat aktiviti penyeludupan manusia, dadah dan senjata api.

Katanya pihak keselamatan juga memutuskan untuk melanjutkan perintah berkurung berkenaan kerana ia mendapat kerjasama daripada pengusaha chalet dan masyarakat yang terlibat dalam aktiviti perikanan bagi menjamin keselamatan perairan serta pulau-pulau di kawasan sempadan.

Jalaluddin berkata kuasa telah diberi kepada semua ketua polis daerah Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon bagi tujuan aktiviti perikanan atau lain-lain aktiviti laluan mendesak.

Esszone, perintah berkurung

Artikel Lain