suria

Tan-Tan Diselamatkan Pembeli, Diserah Kepada Jabatan Hidupan Liar

Wong bersama Tan-Tan yang berjaya diselamatkan pembelinya.

KOTA KINABALU: Seekor anak beruang madu yang dijual pemburu haram diselamatkan seorang individu yang membeli haiwan tersebut sebelum bertindak menyerahkannya kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Anak beruang madu berusia tiga bulan itu dibawa ke Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok, Sandakan pada Khamis.

Haiwan tersebut turut diberi nama Tan-Tan.

Tan-Tan dijual di sebuah perkampungan di daerah Paitan apabila dikesan oleh pembeli itu.

Pembeli tersebut yang enggan namanya didedahkan menyerahkan anak beruang madu itu kepada pihak berkuasa.

Tan-Tan, antara beruang madu yang ke-44 berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat tersebut sejak beroperasi enam tahun lalu.

"Anak beruang itu dikuarantin. Ia diberi pengawasan rapi oleh kakitangan kami," kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC, Wong Siew Te.

Buat masa ini, pusat tersebut menjaga kira-kira 35 beruang madu.

Wong berkata, orang ramai perlu memahami bahawa pembelian beruang madu akan menggalakkan lagi penangkapan haiwan tersebut di kalangan pemburu haram untuk mendapatkan keuntungan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada individu yang membeli haiwan itu dan menyerahkannya kepada Jabatan Hidupan Liar.

"Cara terbaik untuk membantu beruang madu atau haiwan lain daripada dijual secara haram adalah dengan melaporkan perkara itu kepada jabatan tersebut dengan segera," katanya.

Tan-Tan, beruang madu

Artikel Lain