suria

Kabinet Baharu Diharap Mampu Selesai Masalah Negara - MB Johor

JOHOR BAHARU: Barisan kabinet yang baharu dibentuk diharap mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi negara, sebagaimana keyakinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikannya dalam masa yang munasabah.

Mengulangi sokongan kepada Perdana Menteri, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata jika soal untuk mempunyai kekuatan itu termasuk membuat rombakan kepada barisan kabinet serta menggugurkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mereka menerima ketetapan itu.

"Lebih-lebih lagi kerana kita sedar bahawa ia adalah hak dan budi bicara Perdana Menteri," kata Mohamed Khaled, dalam satu kenyataan di sini Selasa malam.

Beliau mengulas mengenai rombakan kabinet tengah hari tadi yang diumumkan Najib, yang juga Presiden Umno.

Mohamed Khaled, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu berkata, pada 15 Mei lepas, Perdana Menteri telah mendapat sokongan dari Umno Johor untuk menyelesaikan segala isu dan masalah yang dihadapi, khususnya isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Serentak itu, Mohamed Khaled turut mengingatkan bahawa Muhyiddin masih Timbalan Presiden Umno dan mengharapkan semua pihak menghormatinya.

"Di Johor, saya tiada sebarang halangan bagi mana-mana bahagian yang telah dan ingin menjemput beliau (Muhyiddin) untuk merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing," kata beliau.

Mohamed Khaled turut berharap agar ahli-ahli Umno terutamanya dari Johor bersabar dan melalui saat-saat kini dengan penuh kekuatan dan kesabaran.

Artikel Lain