suria

Bekas Menteri Yang Kembali Semula Dalam Kabinet

Azalina Othman Said kini kembali ke dalam kabinet Kerajaan Persekutuan.

PETALING JAYA: Bekas menteri pelancongan diera pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Azalina Othman Said telah kembali sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ini adalah potfolio kabinet yang ketiga buat Azalina.

Beliau yang merupakan ahli parlimen Pengerang sejak 2004 menjadi menteri pelancongan dari 18 Mac 2008 sehingga 8 April 2009 dan sebelum itu menyandang jawatan menteri belia dan sukan selama empat tahun iaitu dari 31 Mac 2004 sehingga 17 Mac 2008.

Pelantikan semula Azalina yang merupakan seorang ahli parlimen yang lantang bersuara mempertahankan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak di sidang Dewan Rakyat agak mengejutkan dan tidak dijangka.

Ini kerana hanya pada 1 Jun yang lalu, Azalina dilantik sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang baru menggantikan Datuk Md Afendi Hamdan (yang berkhidmat dari 1 September 2011 - 31 Januari 2015).

Tetapi dengan pelantikannya sebagai menteri kabinet yang baru, Azalina nampaknya terpaksa melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Finas.

Azalina dilahirkan di Johor Baharu pada 31 Disember 1963. Beliau mendapat pendidikan di UiTM Shah Alam dalam jurusan undang-undang sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) pada tahun 1988.

Kemudian beliau melanjutkan pengajian di London School of Economics and Political Science, United Kingdom dan dianugerahkan Ijazah Sarjana Undang-Undang pada tahun 1990.

Beliau memulakan kerjaya sebagai pembantu pegawai undang-undang di Messr Raja Darryl & Loh (1988-1989, 1991-1994). Setelah menimba pengalaman, beliau menjadi rakan kongsi di syarikat guaman Azalina Chan & Chia (1994-2001) dan kemudiannya Messrs Skine (2001-2002). Pada tahun 2002 beliau menjadi rakan kongsi di Messrs Zaid Ibrahim & Co. dan kemudiannya Zaid Ibrahim & Co. LLP, Singapore mulai tahun 2003. Beliau pernah menjadi pengacara dalam rancangan Dateline Malaysia di ntv7.

Dalam Umno, beliau melakar sejarah sebagai ketua penaja Pergerakan Puteri Umno Malaysia pada April 2001 dan kemudiannya menjadi Ketua Puteri Umno yang pertama mulai 1 November 2002 hingga 2004.

Pada 1 November 2002, sebagai ketua puteri, beliau secara automatik adalah salah seorang naib presiden Umno.

Pada Pilihan Raya Umum 2004 dan 2008, beliau telah menang tanpa bertanding di kerusi Parlimen Pengerang - merupakan satu rekod untuk parlimen kawasan berkenaan.

Artikel Lain