suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ahli Perniagaan Nyaris Maut Ditembak

JOHOR BAHARU: Seorang ahli perniagaan berusia 44 tahun nyaris maut ditembak di hadapan sebuah restoran di Jalan Trus, di sini tengah malam Isnin, kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira 12.03 tengah malam apabila mangsa dikatakan baru sahaja pulang melawat kedai cakera padat (CD) miliknya, yang sedang beroperasi di kawasan tersebut.

Menurutnya, ketika mangsa sedang berjalan ke arah keretanya di tepi jalan berhadapan restoran itu, dia dihampiri dua lelaki menaiki motosikal yang memakai topi keledar berpenutup gelap dan berjaket hitam.

"Seorang daripadanya kemudian terus melepaskan tiga das tembakan, yang mengenai bahagian rusuk kanan mangsa, menyebabkan dia rebah di tempat kejadian sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di sini oleh orang awam dan keadaan mangsa kini dilaporkan stabil," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya kejadian berlaku sangat pantas dan penembak melepaskan tembakan tanpa memberhentikan motosikal dan dipercayai menggunakan senjata semi auto.

Sulaiman berkata polis sedang menyiasat motif kejadian, sama ada berkait dengan dendam, persaingan dalam perniagaan atau sebagainya dan meminta saksi yang berada di tempat kejadian agar tampil membantu siasatan.

Ini merupakan kes tembak yang ketiga berlaku di Johor dalam tempoh sebulan ini.

Pada 19 Julai lalu, seorang kontraktor mati ditembak di perkarangan rumahnya di Kampung Jaya Sepakat, Senai, di sini selang lima hari kejadian seorang pemandu lori turut ditembak mati di Skudai, pada 15 Julai.

Artikel Lain