suria

Spad Diseru Usah Layan Permohonan Naik Tambang LRT, Monorail

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada Ahad meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar tidak memberi pertimbangan terhadap permohonan Prasarana Malaysia Bhd untuk menaikkan tambang perkhidmatan LRT dan Monorel.

"Jika tambang dinaikkan, ia akan menambah beban golongan bekerja, yang kini sudah pun terbeban oleh kenaikan kos sara hidup," kata timbalan setiausaha agung MTUC, A. Balasubramaniam kepada Bernama.

Menurut beliau, sekiranya tambang perkhidmatan itu dinaikkan, kempen MTUC untuk menggalakkan pekerja menggunakan tren ke tempat kerja juga akan terjejas.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan pengarah urusan Prasarana Malaysia Bhd, Datuk Azmi Abdul Aziz bahawa syarikat itu akan meminta SPAD menyemak semula tambang trennya berikutan kenaikan kos penyenggaraan dan tarif elektrik.

Balasubramaniam berkata usaha perlu ditingkatkan untuk menggalakkan lebih banyak orang menggunakan pengangkutan awam, terutama di kawasan bandar, bagi membantu mengurangkan kesesakan trafik dan pencemaran.

Prasarana, anak syarikat milik penuh kerajaan, adalah pengendali perkhidmatan LRT dan Monorel di Kula lumpur serta kawasan sekitarnya, di samping perkhidmatan bas di Lembah Klang, Kuantan dan Pulau Pinang.

Di Lembah Klang sahaja, ia mengendalikan 165 laluan bas yang meliputi 980 kawasan perumahan.

Artikel Berikut

Artikel Lain