suria

APMM Tumpas Cubaan Seludup Rokok Terbesar di Sarawak

Ismaili (kanan) sedang memeriksa senarai rampasan melibatkan enam kontena yang mengandungi sebanyak 27 juta batang rokok pelbagai jenama.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menumpaskan cubaan menyeludup rokok terbesar di Sarawak melibatkan enam kontena yang mengandungi sebanyak 27 juta batang rokok pelbagai jenama bernilai RM4.8juta pada Selasa lepas.

Ketua Penguatkuasa APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata, rampasan berkenaan dibuat pada pukul 6.30 petang 21 Julai lepas setelah APMM Miri menyerbu sebuah kapal kargo, Ulticom 93 yang berdaftar di Sibudi lokasi 3.5 batu nautika dari muara sungai Miri. 

"Ini kes berprofil tinggi kerana nilai keseluruhan rokok dirampas iaitu nilai harga dan cukai amat tinggi berjumlah anggaran keseluruhan RM33 juta,"katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.  

Ismaili berkata, secara terperinci nilai anggaran harga rokok yang dirampas ialah RM4.8 juta manakala anggaran nilai cukai ialah RM28.1 juta dengan lima kru kapal ditahan melibatkan seorang warga tempatan dan empat warganegara Myanmar.

"Kesemua suspek berumur 25 hingga 41 tahun telah ditahan reman dan dijangka didakwa pada awal Ogos," katanya sambil menambah kes disiasat dibawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

Beliau bagaimanapun enggan mengesahkan dalang sindiket berkenaan yang dipercayai seorang ahli perniagaan bergelar datuk terlibat dalam kegiatan penyeludupan tersebut memandangkan siasatan masih dijalankan.

Seludup rokok, Sarawak

Artikel Lain