suria

Pemimpin PAS Lebih Biadap Banding DAP - Perwakilan Ulama Selangor

Rizuan Rahmat

GOMBAK: Perwakilan Selangor Dewan Ulama PAS Pusat membidas sikap segelintir ahli dan pemimpin parti itu yang lebih cenderung mengikut rendak DAP, termasuk menyerang kepimpinan tertinggi PAS.

Rizuan Rahmat berkata, tindakan ahli dan pemimpin PAS  mempertikaikan kepimpinan ulama dalam parti dianggap lebih biadap berbanding DAP.

"Tak kira dari mana, apatah lagi daripada kalangan pemimpin-pemimpin, jangan keluarkan kenyataan biadap. Biadapnya DAP terhadap PAS kerana mengeluarkan kenyataan sangat dahsyat.

"Ahli PAS yang bersetuju dengan pandangan DAP terhadap PAS, maka mereka lebih biadap daripada DAP kerana kamu ahli PAS,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Dewan Ulama PAS Pusat di sini, Rabu.

Katanya lagi, kumpulan berkenaan seharusnya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan khususnya berkaitan  kedudukan ulama.

“Kita harap tidak ada lagi mulut-mulut celupar yang berani memperlekehkan kedudukan ulama hari ini serta mempertikaikan ulama khususnya dari Majlis Syura,” katanya.

Sebelum ini beberapa pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan yang menyanggah pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pelbagai isu, termasuk Menteri Besar Selangor.

Beberapa kenyataan Hadi yang tidak bersetuju dengan isu itu dianggap pandangan peribadinya dan tidak mewakili PAS.


Ulama PAS, Rizuan Rahmat, DAP

Artikel Lain