suria

94.4% Responden Mahu Pengeluaran KWSP Kekal Pada Usia 55

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berkata proses perundingan membabitkan pencarumnya menerima maklum balas menggalakkan dengan 96,448 responden mengambil bahagian.

Keputusan kaji selidik mempunyai margin kesilapan 0.35 peratus pada paras keyakinan 95 peratus, menunjukkan keputusan statistik yang signifikan dan mewakili pandangan semua pencarum KWSP.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata Lembaga Pengarah KWSP gembira begitu ramai pencarum menggunakan hak mereka untuk memberi pandangan dalam kaji selidik itu.

KWSP membuka proses perundingan itu kepada pencarumnya dari 21 April hingga 5 Mei tahun ini untuk memberi pandangan terhadap empat inisiatif.

Bagi Inisiatif Satu -- meningkatkan simpanan persaraan pencarum -- KWSP menerima 94.4 peratus bagi opsyen 2 iaitu mengekalkan usia pengeluaran penuh pada 55 manakala sumbangan baharu bermula usia 55 hingga 60 tahun hanya boleh dikeluarkan pada umur 60.

Untuk Inisiatif Dua, menyelaraskan sumbangan minimum dengan dasar gaji minimum, sebanyak 74.6 peratus pencarum bersetuju dengan cadangan itu.

"Ini akan mewajibkan majikan dan pekerja untuk melakukan sumbangan KWSP mereka berdasarkan gaji yang diperuntuk di bawah undang-undang gaji minimum.

"Pencarum bersetuju cadangan ini kena pada masanya kerana ia akan menangani isu simpanan rendah pekerja yang sumbangannya lebih rendah daripada sepatutnya di bawah undang-undang gaji minimum," kata Shahril Ridza.

Bagi Inisiatif Tiga iaitu melanjutkan pembayaran dividen daripada usia 75 kepada 100 tahun, sebanyak 61.3 peratus pencarum yang berhasrat terus menyimpan dalam KWSP selepas bersara, bersetuju untuk terus menerima dividen sehingga usia 100 tahun.

Untuk Inisiatif Empat, sebanyak 71.0 peratus bersetuju dengan cadangan KWSP membenarkan pencarum bertukar kepada simpanan persaraan patuh syariah daripada skim simpanan persaraan sedia ada berdasarkan garis panduan pelaburan beretika.

"Ada permintaan terhadap simpanan persaraan patuh syariah daripada pencarum.
Berdasarkan angka maklum balas daripada kaji selidik itu, kami yakin kadar pengambilan skim simpanan persaraan patuh syariah akan menggalakkan bagi pencarum Islam dan bukan Islam," katanya.

Perundingan itu juga menunjukkan 65.7 peratus responden adalah pencarum berusia 40 tahun ke bawah, 24.9 peratus antara 41 dan 50 tahun, 9.2 peratus antara 51 dan 60 tahun, dan 0.2 peratus berusia 60 tahun ke atas.

Daripada keseluruhan responden, 83.1 peratus adalah daripada sektor swasta, 12.1 peratus agensi awam dan berkanun; dan 4.4 peratus daripada kumpulan yang bekerja sendiri.

Artikel Lain