suria

Polis Lengkapkan 14 Kertas Siasatan Kesalahan PRK P.Pauh

GEORGE TOWN: Polis telah melengkapkan 14 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya yang dilapor sepanjang pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua kertas siasatan yang telah lengkap itu akan diserah kepada Ketua Unit Perundangan (KUP) dalam masa terdekat.

"Kami membuka 16 kertas siasatan kesalahan pilihan raya kecil Permatang Pauh. Dua lagi termasuk kes Timbalan Presiden PKR (Mohamed Azmin Ali) menggelar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar 'barua Umno' dalam ceramahnya kini di peringkat akhir untuk disiap," katanya di sini Isnin.

Bercakap kepada pemberita selepas perjumpaan dengan 48 kadet sarjan pelatih baharu yang ditempatkan di Kontinjen Polis Pulau Pinang, beliau berkata polis sehingga kini telah merekod 15 keterangan daripada pelbagai pihak berhubung kes "barua Umno".

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor didakwa menggelar Khalid sebagai "barua Umno" dalam ceramah semasa berkempen pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, baru-baru ini.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata indeks jenayah di negeri ini turun sebanyak 21 peratus atau 640 kes sehingga semalam berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata kadar jenayah yang dicatat sejak awal tahun ini hingga Ahad ialah 3,047 kes berbanding 3,681 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Artikel Lain