suria

PRK Pmtg Pauh: PKR Tak Perlu Manifesto Sebagai Modal Kempen - Azmin

Azmin Ali.

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu menabur janji-janji baharu atau manifesto sebagai modal kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali berkata, manifesto kerajaan pimpinan DAP di Pulau Pinang sudah memadai untuk memancing undi bagi mengekalkan kemenangan di kawasan kubu kuat pembangkang itu.

“Kita sudah ada banyak program-program pembangunan dan kebajikan yang dibuat secara berterusan sejak 2008.

“Semuanya berjalan dengan baik dan bukan hanya janji kosong,” katanya ketika ditemui mStar Online sewaktu berkempen di sini, Khamis malam.

Ditanya sama ada ketiadaan manifesto PKR dalam kempen PRK kal inii akan menjejaskan peluang mereka untuk menang, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor sebaliknya menyindir langkah parti lawannya, Barisan Nasional (BN).

“BN memanglah kena ada manifesto, senang mereka tabur janji. Hanya orang yang tak yakin kena ada manifesto,” katanya.

Sementara itu Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata, kerajaan negeri telah dan senang melaksanakan semua janji-janji dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Kerajaan negeri Pakatan Rakyat memantau keperluan rakyat dengan sebaik mungkin termasuk di Permatang Pauh.

"Ada banyak program pembangunan yang dilaksanakan secara berperingkat. Isu manifesto bukan perkara utama,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya.

Pada Khamis, BN melancarkan manifestonya yang mengandungi enam bidang utama merangkumi sektor ekonomi, kebajikan, pendidikan, perumahan, komuniti dan keselamatan.

Pengarah PRK BN Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu yakin dapat melaksanakan 'akujanji' tersebut dalam tempoh tiga tahun pertama jika  diberikan peluang.


PKR, PRK Permatang Pauh, Azmin Ali

Artikel Lain