suria

Kempen PRK Rompin: BN, PAS Bertolak Ansur, Tak Agresif - Hasan

Hasan bertanyakan khabar penduduk Orang Asli pada program pemimpin bersama masyarakat Orang Asli di Bukit Serok.

ROMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin agak suram jika dibandingkan dengan PRK Permatang Pauh.

Sebaliknya, Hasan berkata, ahli politik BN atau PAS bukannya di kalangan pemimpin yang agresif dari segi kepartian tetapi lebih bersederhana dalam berkempen.

"Tidak suram... Rompin ini terletak di kawasan luar bandar dan kedua-dua belah pihak, sama ada PAS dan Umno bukan jenis ahli-ahli parti yang agresif.

"Perang poster, sepanduk, buat roket, bulan tidak ada di sini. Di sini sederhana sahaja," katanya kepada pemberita pada sidang media majlis ramah mesra bersama rakyat dan bantuan sara hidup peserta tanam semula Felcra kawasan Endau di sini Selasa.

Jelas Hasan, kedua-dua parti dilihat bertolak ansur antara satu sama lain terutama dari segi perang poster di sekitar bandar Muadzam Shah.

"Kalau di Muadzam ini, ada tempat untuk PAS dan ada tempat untuk Umno...tak macam tempat lain. Poster besar-besar pun tak ada," katanya.

Ketika ditanya bagaimana beliau menangani isu-isu yang dibangkitkan PAS semasa berkempen, Hasan berkata, beliau sudah menjelaskan kepada rakyat terutamanya isu berkaitan tanah rancangan Felda.

"Saya dah jelaskan masalah Felda, saya juga pernah jadi ahli Lembaga Pengarah Felda. Kita mahu serahkan negara kepada generasi kedua dengan lebih baik.

"Jadi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menstabilkan politik dan pentabdiran yang bagus itu asas kukuh untuk kita serahkan kepada generasi muda," katanya.

Hasan yang juga Pemangku Ketua Umno Rompin berkata, generasi kedua Felda harus berfikiran dalam konteks yang lebih menyeluruh demi masa depan negara.

"Kalau negara kacau bilau bagaimana kita nak serah negara untuk mereka nikmati dan rancang masa depan," katanya.

Malah, Hasan memberi jaminan bahawa pintu rumahnya sentiasa terbuka untuk rakyat di Rompin kerana beliau ingin  berkhidmat sepanjang hayat.



BN, Hasan Ariffin, PRK Rompin

Artikel Lain