suria

1,000 Unit Rumah PPR Di Gua Musang Bakal Diagih Dalam Masa Terdekat

Kawasan Gua Musang adalah antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir pada Disember tahun lalu.
GUA MUSANG: Sejumlah 1,000 unit rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Jalan Persiaran Raya, Bandar Baharu di sini, bakal diagihkan kepada penduduk setinggan dan mangsa banjir dalam masa terdekat.

Anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata rumah PPR itu telah siap sepenuhnya dan kini dalam proses peringkat akhir kelulusan pinjaman Bank Rakyat sebanyak RM35 juta untuk para pembelinya.

"Apabila semuanya selesai nanti, setiap penghuni yang layak akan menerima pinjaman bank itu RM35,000 untuk seunit rumah dengan kadar bayaran balik RM125 sebulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indera Petra 1 di sini, Ahad.

Tengku Razaleigh berkata kadar bayaran balik pinjaman itu adalah yang paling rendah dan mampu dibayar oleh pemilik rumah berkenaan.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Gua Musang berkata matlamat utama pembinaan rumah PPR itu untuk mengatasi masalah penduduk setinggan sekitar bandar itu dan sebagai menunaikan janji kerajaan untuk membina 1,500 unit rumah.

"Tetapi oleh kerana keluasan kawasan itu tidak mencukupi untuk pembinaan 1,500 unit rumah, maka kerajaan terpaksa bina 1,000 unit dahulu manakala baki 500 unit lagi akan dibina di kawasan lain yang tapaknya telah dikenal pasti," katanya.

Artikel Lain