suria

Pembatalan Konsert Pada Saat Akhir Jejas Nama Baik Malaysia - MP Serdang

Ong Kian Ming
PETALING JAYA: Polis harus menjelaskan mengapa mereka menarik balik sokongan terhadap konsert 'Thirst 2015: We Are All Stardust' yang dijadual berlangsung pada Sabtu pada saat-saat akhir, kata Ahli Parlimen Serdang Ong Kian Ming.

"Walaupun polis mempunyai hak untuk tidak menyokong mana-mana acara hiburan berlandaskan alasan sahih dan sah, adalah tidak adil kepada pihak penganjur mana-mana acara besar-besaran apabila penarikan balik sokongan dibuat 11 jam sebelum konsert dan tanpa dinyatakan sebab-sebabnya," katanya.

Polis Serdang telah mengeluarkan surat pada 25 Mac menyatakan mereka tidak mempunyai bantahan terhadap penganjuran acara tersebut.

Pada April, Majlis Perbandaran Subang Jaya mengeluarkan permit sementara kepada penganjur untuk mengadakan konsert.

Bagaimanapun pada Jumaat, pihak polis telah menghantar surat kepada MPSJ menyatakan bahawa mereka tidak akan menyokong konsert itu.

Akibatnya, MPSJ terpaksa menarik balik permit hiburan untuk acara tersebut. Sebab penarikan balik sokongan polis untuk acara ini tidak dinyatakan.

Oleh itu, pihak penganjur tidak mempunyai pilihan melainkan membatalkan konsert itu dan membuat bayaran balik kepada mereka yang telah membeli tiket untuk acara tersebut.

Ong berkata pihak penganjur dan penaja telah membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan acara itu, malah mendapatkan sokongan daripada Agensi Anti Dadah dan Bahagian Narkotik yang akan menempatkan pegawai-pegawai mereka untuk bertugas pada malam acara tersebut.

"Ia sangat mengecewakan bagi pemegang tiket, pihak penganjur, penghibur dan semua pihak berkepentingan lain apabila acara ini terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

"Ia juga menjejaskan reputasi Malaysia sebagai destinasi untuk mengadakan acara-acara hiburan peringkat antarabangsa kerana terdapat kemungkinan acara terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana penarikan balik permit," kata Ong dalam satu kenyataan.

Artikel Lain