suria

Gempa Bumi Nepal: Rakyat Malaysia Terkandas

Serena dan Toorawa kini terkandas di Nepal akibat gempa bumi yang melanda negara itu.

KOTA KINABALU: Rakyat Malaysia kelahiran Sabah berjaya menyelamatkan diri ketika berlaku gempa bumi di Nepal, bagaimanapun keluarga itu terkandas apabila tidak dapat menginap di pusat peranginan di Kathmandu.

Tujuh sekeluarga itu, termasuk tiga kanak-kanak itu bercuti di Gokarna Forest Resort yang terletak kira-kira 14 kilometer dari ibu negara Nepal itu dan bimbang negara itu dilanda gempa bumi susulan dalam masa terdekat, kata Afieza Khan, Sabtu.

Beliau berkata, bapanya, Gulam Khan, 66 dan ibu, Aishah Abdullah, 65 ada bersama kakaknya, Serena Khas serta abang ipar, Toorawa serta tiga anak mereka menghabiskan percutian hujung minggu di pusat peranginan itu.

"Nasib baik mereka ok. Kami masih boleh berhubung dengan mereka menerusi WhatsApp, tetapi bimbang sumber makanan kehabisan di Kathmandu," katanya.

Afieza menjelaskan, suami kakaknya, Ismael yang berasal dari Mauritius bekerja di Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Nepal dan ibu bapanya ke sana untuk menziarahi mereka kira-kira dua bulan lalu.

"Mereka baru saja tiba di pusat peranginan itu apabila gempa bumi melanda dan kakitangan pusat peranginan itu menasihatkan mereka supaya tidak memasuki bangunan.

"Cuaca sejuk ketika ini terutama waktu malam tentunya beri kesan kepada sumber makanan mereka, lebih-lebih lagi tidak diketahui bila mereka dapat pulang ke Kathmandu," katanya.

Beliau berkata, Ismael juga gagal menghubungi kediaman atau pejabatnya di Kathmandu.

"Mereka juga tidak tahu sama ada kediaman mereka turut musnah akibat gempa bumi itu atau keadaan pekerja mereka kerana terputus hubungan," katanya.


Artikel Lain