suria

Idea Penubuhan UTC Senangkan Rakyat Sarawak - Adenan Satem

Najib Tun Razak melihat hasil produk yang dijual di Pusat Pameran dan Jualan Produk Tempatan Sarawak ketika melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuching, Khamis. Foto: BERNAMA

KUCHING: Idea penubuhan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah banyak menyenangkan rakyat Sarawak, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata sebagai contoh suatu ketika dahulu rakyat Sarawak terpaksa menempuh perjalanan jauh dan proses merumitkan ketika membuat pasport dan kad pengenalan, namun, sejak UTC Sarawak beroperasi pada Oktober 2013, semua urusan semakin mudah dan cepat.

"Dahulu dari luar bandar jauh terpaksa ke Kuching...semua susah tetapi kini dalam 30 minit pasport dan kad pengenalan boleh disiapkan.

"Najib Tun Razak yang mencetuskan penubuhan UTC ini. Boleh tahan idea Perdana Menteri kita ini, kini semua rakyat kini senang-lenang kerana semua kemudahan di bawah satu bumbung," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena perasmian UTC Sarawak di Jalan Bukit Mata, di sini Khamis malam.

Mengulas lanjut, Adenan turut menyuarakan hasrat Sarawak untuk memiliki lebih banyak UTC khususnya di setiap bandar di negeri ini.

"UTC perlu ada di Sibu, Miri dan Bintulu supaya layanan (kemudahan) dapat dinikmati seluruh rakyat di Bumi Kenyalang," katanya. -BERNAMA

UTC Sarawak

Artikel Lain