suria

Syarikat Teksi Dakwa SPAD Gagal Tangani Teksi Haram

Shamsubahrin Ismail

KUALA LUMPUR: Pengasas syarikat teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) gagal melaksanakan tugas penguatkuasaan terhadap aktiviti teksi haram di ibukota.

Beliau mendakwa kegagalan SPAD dan aktiviti teksi haram itu menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian. |

"Sudah dua tahun keadaan ini berlaku dan saya telah menemui SPAD mengadu perkara ini tetapi setakat ini tiada sebarang tindakan diambil SPAD.

"Anggota penguatkuasa SPAD sekadar melakukan rondaan sekitar pusat membeli belah KLCC tetapi tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap pemandu teksi haram yang menanti dan mengambil penumpang di luar KLCC walaupun mereka nampak kejadian itu di hadapan mata mereka," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau berkata syarikat teksi Premium Big Blue merupakan satu-satunya syarikat teksi berdaftar beroperasi di KLCC, namun teksi haram kini sewenang-sewangnya mengambil penumpang di lokasi tersebut tanpa pemantauan SPAD.

Beliau berkata pihaknya juga merancang mengambil tindakan undang-undang terhadap SPAD kerana menyebabkan syarikat itu menanggung kerugian.

"Kita sedang menyediakan dokumen serta bukti berkaitan, untuk menyaman SPAD lebih RM10 juta iaitu tuntutan kerugian yang syarikat saya alami sejak lima tahun lepas iaitu RM280,000 sebulan termasuk kerugian lain," katanya.

Beliau berkata tindakan itu terpaksa diambil bagi menjaga imej KLCC sebagai lokasi tumpuan ramai dan keselamatan pengunjung dilindungi, selain menjaga 'periuk nasi' pemandu teksi Premium Big Blue.

Sementara itu, Pengurus Besar Komunikasi SPAD Radha Warrier ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung perkara tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain