suria

KLIA2 Perlukan Audit Penuh - PAC

Datuk Nur Jazlan Mohamed menunjukkan laporan PAC terhadap KLIA2 ketika sidang media di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Selasa.-foto THE STAR
KUALA LUMPUR : Satu audit penuh dan menyeluruh terhadap KLIA2 perlu dijalankan oleh Ketua Audit Negara, menurut  Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa kerajaan untuk memerintahkan Ketua Audit Negara untuk menjalankan audit penuh ke atas pembinaan KLIA2 berikutan penemuan penyelewengan dalam projek itu oleh jawatankuasa, termasuk kos yang melambung dari RM1.7 bilion kepada RM4 bilion.

"Biasanya, PAC memulakan siasatan berdasarkan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

"Walau bagaimanapun , PAC memutuskan untuk meneliti projek itu berikutan banyak laporan negatif terhadap KLIA2 demi kepentingan awam ," kata Nur Jazlan Selasa.

Beliau juga berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), yang secara langsung membiayai projek sebagai tidak 'mengutamakan pelanggan'.

"Mereka perlu membina lapangan terbang berdasarkan apa yang menjadi keperluan orang ramai dan bukan menentukan apa yang perlu digunakan orang ramai.

"Ini adalah sesuatu yang amat ketara dalam laporan yang perlu diketengahkan," katanya.

Dalam laporan itu, PAC mendapati bahawa projek KLIA2 tidak mengikut rancangan asal yang mana ia dibina bagi menggantikan Terminal Penerbangan Tambang Murah.

"Sebaliknya, selepas kenaikan kos dan naik taraf yang tidak dijangka, konsep KLIA2 telah ditukar kepada sebuah lapangan terbang hibrid.

"Akibatnya, KLIA2 seolah-olah mengancam kedudukan KLIA yang sedia ada sebagai lapangan terbang utama di Malaysia. Sementara itu, Malaysia juga telah hilang satu peluang keemasan untuk membangunkan hab penerbangan tambang rendah yang paling kompetitif di rantau Asia Pasifik," kata laporan itu.
KLIA2, PAC, MAHB, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Lain