suria

Lelaki Maut Kereta Terbabas Ke Dalam Parit

SETIU: Seorang lelaki maut selepas keretanya terbabas dan terjunam ke dalam parit dipenuhi air di Kilometer 82.4, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu dekat Kampung Bintang di sini awal pagi Khamis.

Shamsul Mohd, 28, dari Kampung Putrajaya, Bandar Permaisuri mati dipercayai akibat lemas selepas terperangkap di dalam keretanya dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata mangsa yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala Kota Baharu dipercayai hilang kawalan sebelum keretanya terbabas dan tercampak ke dalam parit sedalam kira-kira tiga meter itu.

Sementara itu di Besut, seorang pejalan kaki maut akibat dilanggar bas ketika dia melintas jalan di Jalan Gong Medang dekat Kampung Raja kira-kira pukul 8.00 malam Rabu.

Timbalan Ketua Polis Besut, Deputi Supritenden Kamsani Hassan berkata Natiah Ismail, 46, dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba hingga menyebabkan bas itu tidak dapat dibrek lalu melanggar mangsa.

Di Tawau, Sabah, seorang pejalan kaki yang hendak melintas jalan turut maut akibat dilanggar van di Jalan Utara Baru, Hilltop malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Awang Besar Dullah berkata akibat kejadian kira-kira 8.45 malam itu, Ajan Kalip, 60, cedera parah di kepala dan mati di tempat kejadian.


Kemalangan, Kereta Terbabas

Artikel Sebelum

Artikel Lain