suria

PAU 2014: Bebas Bahas, Tapi Elak Isu Sensitif - Ku Nan

KUALA LUMPUR: Masalah peribadi, isu sensitif antara kaum dan ahli Umno adalah antara perkara yang perlu dielak pembentang dan pembahas usul pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014, bermula 25 November ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengingatkan perkara itu berkata, walaupun pembentang usul diberi kebebasan untuk berbahas, namun mereka perlu menjaga etika dan mengelak daripada menyentuh beberapa isu sensitif.

"Kita nak nasihatkan kepada pembentang-pembentang usul mereka bebas bercakap apa saja.

"Hanya kita tak nak mereka menyentuh masalah peribadi, masalah sensitif di antara kaum dan ahli-ahli Umno...yang lain dia boleh buat (cakap) apa sahaja mengikut garis panduan yang telah diberikan," katanya pada sidang media Perhimpunan Agung Umno 2014, di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh.

Tengku Adnan berkata, setiap pembentang usul diberi garis panduan oleh Pengerusi Jawatankuasa Usul PAU, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Tambahnya, usul yang akan dibahaskan pada perhimpunan kali ini ialah ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak, usul ekonomi, agama serta pendidikan.

"Pengerusi usul telah bertemu dengan wakil-wakil negeri dan satu sidang meja bulat telah diadakan," katanya.

Dalam sidang media sama, Tengku Adnan memaklumkan bahawa dianggarkan seramai 5,739 perwakilan akan terlibat dalam perhimpunan pada kali ini yang akan berakhir 29 November ini.

Selain itu, 95 delegasi mewakili 27 parti dari 19 negara di peringkat antarabangsa telah mengesahkan kehadiran untuk perhimpunan tahun ini.


Artikel Lain