suria

Kerajaan Belum Muktamadkan Status MH370 - Majlis Fatwa Kebangsaan

Abdul Shukor Husin.
PETALING JAYA: Status mengenai pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang masih hilang sejak lapan bulan lepas masih belum dimuktamadkan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, jawatankuasa tersebut dalam muzakarah khas pada 25 Mac lalu telah mengesyorkan beberapa pandangan mengenai tragedi MH370.

"Kita dan lama bincang mengenai perkara ini. Kita syorkan pandangan muzakarah fatwa beberapa kali untuk dipertimbangkan kerajaan terutama kepada mangsa yang beragama Islam di dalam pesawat itu.

"Sekarang terpulang kepada kerajaan untuk tentukan status pesawat tersebut," katanya kepada mStar Online.

Berdasarkan muzakarah tersebut, mangsa MH370 diklasifikasikan sebagai mafqud (orang hilang) sehingga usaha mencari dimuktamadkan.

"Oleh itu, memandangkan usaha-usaha mencari telah dijalankan dalam tempoh yang munasabah bagi mafqud dengan penggunaan pelbagai aset dan alat komunikasi berteknologi tinggi serta kewujudan qarinah-qarinah yang boleh diambilkira, maka muzakarah berpendapat bahawa penumpang pesawat MH370 tersebut boleh dianggap telah terkorban," menurut muzakarah itu. 

Bagaimanapun, menurut muzakarah itu, pengesahan atau sabitan kematian hendaklah diputuskan oleh mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut muzakarah itu lagi,  jika menjumpai mayat atau cebisan anggota badan, maka jenazah yang beragama Islam hendaklah diuruskan seperti biasa iaitu dimandikan, dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.

"Bagaimanapun, jika bercampur cebisan mayat atau gagal mengenal pasti sama ada ia Islam atau tidak, maka ia hendaklah dilakukan seperti jenazah orang Islam," katanya.

Bagi tempoh mafqud pula, muzakarah memutuskan bahawa keadaan mafqud dalam tragedi ini tidak memerlukan kadar tempoh tertentu kerana usaha-usaha pencarian yang telah dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

"Walaupun dalam keadaan lautan yang amat mencabar serta qarinah-qarinah yang boleh diambilkira sebelum dan selepas pengumuman kerajaan bahawa pesawat MH370 berakhir di tengah Lautan Hindi, insiden itu telah melalui tempoh munasabah bagi mafqud yang boleh diputuskan oleh Ulil Amri," menurut Muzakarah tersebut.

Malah, muzakarah juga bersetuju memutuskan solat jenazah ghaib tidak perlu dilaksanakan lagi walaupun pihak berkuasa masih meneruskan operasi mengesan pesawat ini.

Sementara itu, ketetapkan lain muzakarah itu termasuk pengesahan kematian hendaklah dibuat di Mahkamah Syariah bagi membolehkan pemansuhan perkahwinan, pembahagian harta faraid dan sebagainya dilakukan.

Dalam pada itu, muzakarah berpendirian bahawa setiap jenazah beragama Islam bergelar sebagai syahid akhirat yang bermaksud orang dibunuh secara zalim, mati melahirkan anak termasuk orang yang mati tenggelam dan mendapat pahala khusus daripada Allah.




Majlis Fatwa Kebangsaan, MH370

Artikel Lain