suria

Penghantar Surat Terima 56 Tuduhan Subahat Tipu

SHAH ALAM: Seorang penghantar surat pada Isnin menghadapi 56 pertuduhan bersubahat menggunakan dokumen palsu bagi tujuan menipu duti setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyebabkan kerugian RM106,183, dua tahun lepas.

Mohd Safie Md Sharif, 35, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa bersubahat dengan Mohd Farid Dakoit, 31, dan Shahrul Farid Mohammad Yusop, 35, melakukan perbuatan berkenaan melalui dokumen yang mempunyai duti setem LHDN menggunakan Sistem Franking Digital berjumlah RM106,183.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Tetuan Desmond Chan & Co Advocates & Solicitors, Jalan Batu Tiga, Klang, dekat sini antara Februari 2012 hingga April 2012.

Mohd Safie didakwa mengikut Seksyen 468/471 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Syuhada Alwi yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam Farah Idayu Nusi yang mewakili Mohd Safie memohon mahkamah menetapkan ikat jamin antara RM6,000 sehingga RM10,000.

Hakim Noradidah kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.


Mahkamah

Artikel Lain