suria

PM Ziarah Hadi Awang Di IJN

Najib melawat Abdul Hadi di Institut Jantung Negara (IJN) pada Ahad.
PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak pada tengah hari Ahad meluangkan masa menziarahi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.

Difahamkan kunjungan Perdana Menteri ke IJN berlangsung kira-kira 45 minit.

"Sempat melawat Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Institut Jantung Negara tengah hari tadi.

"Alhamdulillah, kesihatan beliau bertambah baik. Marilah kita doakan agar beliau segera sembuh agar dapat menyambut Ramadan bersama keluarga," demikian tulis Najib di Facebooknya.

Perdana Menteri turut berkongsi sekeping gambar beliau bersama Abdul Hadi.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berusia 67 tahun itu menjalani pemeriksaan perubatan susulan di IJN selepas tahap kesihatannya dilaporkan terjejas semasa menghadiri satu persidangan di Istanbul, Turki hujung bulan lalu.

Artikel Berikut

Artikel Lain