suria

Hasrat Berniaga Nasi Ayam Tak Kesampaian, Motosikal Terbabas Dalam Tali Air

ALOR SETAR: Hasrat sepasang suami isteri untuk berniaga buat pertama kali di bazar Ramadan tidak kesampaian apabila ditemui lemas dalam tali air akibat kemalangan di Batu 8 Jalan Alor Setar-Sungai Petani, Simpang Empat dekat sini, awal hari Ahad.

Dalam kejadian pada 6.45 pagi itu, Abd Muin Hamzah, 56, dan isterinya Nor Hanida Jaafar, 51, dari Kampung Batu Menunggol, Pendang maut di tempat kejadian apabila motosikal yang dinaiki dipercayai terlanggar batu sebelum terbabas ke dalam tali air Terusan Wan Mat Saman.

Saksi kejadian, Shahiran Ahmad, 33, yang bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat berita mengenai kemalangan itu berkata, beliau melihat mayat pasangan suami isteri itu dalam keadaan terlentang dan mengiring.

"Saya dan rakan lain mendapatkan alamat dan nombor telefon segera menghubungi ahli keluarga mangsa bagi memaklumkan kejadian itu sebelum mendapatkan bantuan pasukan kecemasan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sementara itu adik Nor Hanida, Rozhan Jaafar, 41, berkata kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumah mereka ke kedai pemborong ayam di Simpang Empat untuk membeli ayam, sebagai persiapan berniaga nasi ayam di bazar Ramadan petang ini.

Rozhan berkata mereka yang pertama kali merancang berniaga di bazar Ramadan Tanah Merah, Pendang dikatakan keluar dari rumah selepas subuh dengan menaiki motosikal bagi mendapatkan bahan mentah itu.

"Saya ketika itu berada di rumah di kampung Kobah terima panggilan dan terus ke lokasi kejadian. Saya mengecam kedua-dua mangsa adalah kakak dan abang ipar saya," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Rozhan berkata mangsa meninggalkan dua anak perempuan berusia 20 dan 27 tahun.

Sementara itu ibu mangsa, Zainab Rejab, 72, berkata dia reda dengan kehilangan anak perempuan dan menantunya walaupun masih terkejut dengan kejadian berkenaan.

Katanya jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Menunggol selepas solat asar.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
berniaga, maut

Artikel Sebelum

Artikel Lain