suria

RM76 Juta Disalur Kepada Pekebun Kecil Getah

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM76 juta telahpun disalurkan kepada pekebun kecil getah di bawah skim Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah, kata Menteri Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata kementerian menyasarkan untuk mengagih keseluruhan peruntukan RM130 juta dalam bentuk bantuan 'one-off' sebanyak RM500 seorang kepada kesemua 260,000 pekebun kecil getah sebelum Aidilfitri bulan depan.

"Harga getah di peringkat dunia menurun ke paras yang rendah sehingga ada pendapatan golongan itu dalam lingkungan RM300 hingga RM500 sebulan.

"Keadaan itu dilihat agak menekan... namun saya bersyukur kerana peruntukan ini membolehkan kita membantu seramai 260,000 pekebun kecil dalam menghadapi masa-masa sebegini," katanya.

Awal bulan ini, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk membantu golongan itu ekoran kejatuhan harga getah yang mendadak di pasaran dunia.

Antara syarat yang ditetapkan ialah pekebun kecil mestilah rakyat Malaysia yang memiliki keluasan kebun di bawah 2.5 hektar serta berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Ini merupakan kali kedua kerajaan mengagih Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah dengan sejumlah RM127.3 juta telahpun disalurkan melalui Risda kepada 254,672 pekebun kecil tahun lepas.


Getah, Pekebun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain