suria

Kerajaan Belum Cadang Letak Anggota Polis Diami Taman Perumahan - Wan Junaidi

KUALA LUMPUR: Kerajaan belum bercadang meletakkan anggota polis untuk mendiami setiap taman perumahan di seluruh negara setakat ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata ini kerana langkah berkenaan memerlukan kajian terperinci termasuk beban kewangan yang bakal ditanggung kerajaan untuk menyediakan prasarana dan anggota yang diperlukan.

"Faktor lain juga perlu diambil perhatian seperti keselamatan kepada anggota bertugas, bentuk dan jadual penugasan harian anggota serta pertambahan keanggotaan yang diperlukan bagi menempatkan anggota di taman perumahan," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini, Khamis.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang meletakkan anggota polis untuk mendiami setiap taman perumahan seluruh negara memandangkan banyak kes kecurian dan rompakan berlaku.

Wan Junaidi bagaimanapun berkata kerajaan mengambil inisiatif mengawal kejadian jenayah di kawasan perumahan dan perindustrian dengan mewujudkan Balai Polis Komuniti di beberapa negeri.

Beliau berkata sejak 2008 sehingga kini, sebanyak 82 Balai Polis Komuniti dibina iaitu empat di Johor, Kuala Lumpur (21), Selangor (41), Pulau Pinang (15) dan Perak (sebuah).

Menjawab soalan tambahan Mohd Ali mengenai tambahan masa rondaan daripada 16 jam sehari kepada 24 jam sehari, beliau berkata kerajaan akan mempertimbangkan perkara itu namun ia tertakluk kepada jumlah keanggotaan polis sedia ada.
polis, kawasan perumahan

Artikel Lain