suria

Kerajaan Kaji Undang-Undang Terhadap Waris Wanita Buang Bayi

Kes buang bayi yang berterusan mendorong pihak tertentu mencadangkan supaya tindakan dikenakan terhadap waris wanita yang membuang bayi. Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia mengkaji cadangan untuk menggubal undang-undang bagi membolehkan tindakan tegas diambil terhadap ibu bapa atau waris wanita yang terlibat dalam kes pembuangan bayi.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun berkata, kerajaan memandang serius gejala pembuangan bayi di negara ini dan sedia menilai pelbagai langkah pencegahan terhadapnya.

"Kita akan buat kajian. Kalau ramai mahu kita lakukan (gubal undang-undang)...kita boleh buat demi mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mewujudkan undang-undang yang membolehkan ibu bapa atau penjaga wanita terlibat didakwa kerana kecuaian.

Menurut Ikmal Hisham, waris kepada gadis yang terlibat dalam gejala pembuangan bayi perlu turut bertanggungjawab.

Mengulas lanjut, Azizah bagaimanapun berkata, pihak kementerian percaya pendidikan kesihatan dan program peningkatan tahap pengetahuan kepada ibu bapa merupakan langkah pencegahan terbaik.

Tambah beliau, sejak Januari hingga April tahun ini, sebanyak 26 kes pembuangan bayi dilaporkan dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu lima kes, Sabah (empat) serta Negeri Sembilan dan Sarawak masing-masing dengan tiga kes.

Artikel Lain