suria

Langkah Ketat Penyelenggaraan Kenderaan Setiap Jabatan di Johor - SUK

Ismail Karim.

NUSAJAYA: Kerajaan negeri Johor akan mengadakan langkah ketat bagi memastikan penyelenggaraan kenderaan setiap jabatan dirancang dan dilaksanakan secara cekap dan berhemah, kata Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Ismail Karim.

Beliau berkata setiap jabatan diarah memantau secara terperinci penyenggaraan kenderaan dan kenderaan yang sering mengalami kerosakan dirujuk kepada Jabatan Kerja Raya untuk dinilai kesesuaian sama ada diguna atau diganti.

Beliau berkata demikian pada sidang media bagi mengulas Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang menyatakan kos penyenggaraan kenderaan di bawah Pejabat SUK Bahagian Pengurusan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Johor adalah tinggi.

Ismail berkata jawatankuasa khas penambahbaikan di setiap jabatan akan mengambil tindakan pembetulan bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang dinyatakan dalam laporan tersebut.

Laporan itu, yang dibentang di Dewan Rakyat, Isnin lepas, menyatakan kos penyenggaraan kenderaan Pejabat SUK dan PTG Johor meningkat 39 hingga 95 peratus berbanding kos perolehan.

Ismail berkata perkara itu berlaku kerana 13 kenderaan jenis Proton Perdana 2.0 V6 dan Perdana 2.0 V6 Executive yang digunakan oleh ahli exco kerajaan negeri digunakan secara maksimun.

Kos penyenggaraan kereta yang sepatutnya ditukar selepas lima tahun itu akhirnya meningkat tinggi kerana rata-ratanya sudah melebihi usia sembilan tahun, katanya.
 
"Sebab itu kerajaan negeri membuat keputusan membeli 13 kereta Honda Accord awal tahun ini membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta bagi menjimatkan kos penyenggaraan," katanya sambil menambah kereta terbabit hanya akan disenggara di pusat servis Honda bagi mengelak penyelewengan alat ganti.

Ismail Karim, SUK, kenderaan, Johor

Artikel Lain