suria

Kenaikan Harga Minyak Tidak Beri Kesan Kepada Pertumbuhan KDNK - ASLI

Michael Yeoh.
KUALA LUMPUR: Kenaikan terbaharu harga minyak mentah dijangka tidak memberi kesan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI).

Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Dr Michael Yeoh, berkata pada umumnya, perniagaan telah mengambil kira kenaikan harga minyak dan peningkatan itu tidak akan memberi kesan kepada KDNK melainkan ia kenaikan yang besar dan berlaku secara mendadak. 

"Kenaikan harga minyak mentah, bagaimanapun, boleh menyebabkan inflasi lebih tinggi.

"Trend itu perlu dipantau, ditambah dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan pada tahun depan," katanya di luar acara Sidang Kemuncak CFO 2014 di sini, Rabu.

Dalam laporan pada Selasa, Maybank Investment Bank Research berkata bagi setiap kenaikan harga minyak mentah US$10 setong, ia akan mengurangkan 0.7 mata peratusan daripada pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia dan meningkatkan inflasi sebanyak 0.6 mata peratusan.

Bagaimanapun, Maybank berkata trend meningkat memberi prospek baik dari segi perdagangan dan hasil kepada Malaysia.

Ia akan meningkatkan imbangan perdagangan Malaysia sebanyak RM400 juta dan pendapatan kerajaan sebanyak RM4.2 bilion, berikutan status negara sebagai pengeksport bersih minyak, katanya.

harga minyak, KDNK, ASLI, Michael Yeoh

Artikel Lain