suria

Bekas Pemandu Lori Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Bunuh Rakan

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas pemandu lori selepas didapati bersalah membunuh rakannya di sebuah rumah di Simpang Ampat, dekat sini tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim membuat keputusan itu setelah pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi R. Enthiran, 34 tahun.

R. Enthiran dituduh membunuh M. Asokhkumaran, 34, menggunakan tukul besi dalam satu pergaduhan selepas Asokhkumaran didakwa cuba merogol anak perempuannya di rumah No 15, Lorong 10/SS3 Bandar Tasek Mutiara, Simpang Ampat, dekat sini pada pukul 3 pagi, 28 Ogos 2011.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata tertuduh yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah gagal memberi penjelasan munasabah selain pembelaannya bercanggah dengan kecederaan yang dialami mangsa dan keterangan anak perempuannya.

"Keterangan OKT (orang kena tuduh) mengatakan dia memukul si mati hanya satu kali bercanggah dengan kecederaan yang dialami oleh si mati. Keterangan pakar membutirkan si mati telah mati akibat dihentak berkali-kali dengan sejenis senjata tumpul yang menyebabkan luka berganda.

"Selain itu, keterangan OKT mengatakan si mati yang ditemui di bilik anak perempuannya dalam keadaan tanpa baju dan seluarnya londeh hingga ke paras lutut serta cuba menyentuh dan merogol anaknya, langsung tidak disokong sebarang keterangan.

"Malah, keterangan anak perempuannya juga langsung tidak menyatakan si mati tidak berbaju dan tidak mencabulinya. Menurut keterangan anak perempuannya, si mati cuma tidur di sebelahnya dan tidak mencabulinya," katanya.

Zamani berkata tertuduh juga bertindak kejam dan mengambil peluang tidak berpatutan apabila memukul mangsa dengan alasan mempertahankan diri.

"Tindakan balas OKT adalah tidak wajar dan tidak setimpal dengan darjah provokasi yang kononnya dilakukan si mati. OKT langsung tidak nyatakan akibat kebangkitan marahnya sehingga memukul mangsa hingga mati yang kononnya untuk mempertahankan diri," kata Zamani.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit manakala Enthiran diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin. - BERNAMA

Artikel Lain