suria

Kerajaan Pertimbang Laksana Daftar Pemilih Automatik - PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik bagi rakyat Malaysia yang mencapai umur 21 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada dasarnya cadangan berkenaan boleh dilaksanakan secara praktikal.

"Pendaftaran secara automatik adalah sesuatu yang boleh dipertimbangkan walaupun kerajaan belum buat apa-apa keputusan setakat ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Najib berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (BN-Mersing) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan melaksanakan sistem pendaftaran pemilih secara automatik berdasarkan kesedaran rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Bagaimanapun berhubung soalan sama ada kerajaan akan mewajibkan rakyat mengundi dalam pilihan raya, Najib berkata cadangan itu tidak praktikal serta sukar dikuatkuasakan.

"Apa-apa undang-undang atau peraturan yang hendak dibuat mestilah boleh dilakukan. Kalau sesuatu cadangan itu difikirkan baik, ia mestilah dilihat dari sudut sama ada boleh dilaksanakan secara praktikal atau tidak.

"Jadi saya tak fikir mewajibkan orang mengundi boleh dikuatkuasakan secara adil," katanya.

Artikel Lain